Aloe vera anugerah alam semula jadi
19 Dec 2017 | Kosmo Online
Muhamad Iqbal Mohd. Zazuli
ALOE VERA ditanam dan digunakan secara meluas sejak dahulu lagi sebagai solusi kecantikan semula jadi
SHARIFAH SUZIANA menunjukkan tiga produk Aloeshafy iaitu set kecantikan, gel mandian dan jus ekstrak aloe vera.
ALOE vera atau lidah buaya merupakan spesies tumbuhan dalam keluarga Aloe. Ia tumbuh melata di negara-negara beriklim tropika di seluruh dunia. Lazimnya, aloe vera ditanam untuk tujuan pertanian dan perubatan. Ia juga sesuai ditanam untuk tujuan hiasan dalaman dalam pasu-pasu kecil dan diletakkan dalam bangunan atau kediaman. Tekstur daunnya panjang serta bergerigi tajam pada bahagian tepi daun.
Aloe vera atau dalam bahasa Latinnya dikenali sebagai aloe barbadensis banyak digunakan sejak zaman kuno Mesir. Ia digelar sebagai tumbuhan yang tak luput dek zaman. Sejak itu, ia banyak digunakan dalam bidang perubatan dan terapi untuk kulit yang terkena selaran matahari.
Pokok kaktus daripada keluarga Liliaceae ini juga hidup subur di iklim kering seperti Afrika dan India juga digunakan untuk tujuan perubatan.
Gel jernih yang terdapat dalam daun aloe vera boleh disapu untuk merawat luka dan menyejukkan kulit.
Banyak kajian mendedahkan, aloe vera mengandungi bahan-bahan yang berkesan merawat masalah kulit seperti kulit kering menggelupas, kosmetik, rambut dan kulit kepala.
Di negara ini, aloe vera bukanlah satu tumbuhan asing dalam industri kecantikan dan kosmetik.
Ia dipercayai telah digunakan sejak berabad lamanya malah saintis dari zaman Yunani kira-kira 2,000 tahun dahulu percaya tumbuhan itu merupakan penyelesaian universal.
Perunding kecantikan, Suzanne Lew, 32, berkata, disebabkan itulah keluarganya telah mengamalkan penggunaan aloe vera bagi tujuan kecantikan sejak dahulu lagi.
“Seluruh keluarga saya memang percaya tumbuhan ini mempunyai manfaat yang pelbagai khususnya dari segi kecantikan sejak turun temurun.
“Kami menanamnya dalam pasu walaupun menetap di apartmen kerana mahu menggunakan gel tumbuhan itu untuk kegunaan harian.
“Bahkan, jika ada luka-luka kecil, kami menggunakan gel aloe vera itu dan menyapu pada bahagian yang memerlukan tanpa perlu bergantung kepada perubatan dermatologi lain,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam baru-baru ini.
Komersial
Jelas Suzanne, tumbuhan itu nyata banyak membantu mengekalkan kecantikan dirinya secara semula jadi.
Namun, disebabkan tumbuhan itu ditanam di rumah dalam kuantiti sedikit, Suzanne tidak dapat menggunakannya secara kerap kerana ia akan habis kelak.
Baru-baru ini, PIJ Manufacturing Sdn. Bhd. (PIJ Manufacturing), anak syarikat milikan sepenuhnya PIJ Holdings Sdn. Bhd. melancarkan produk ekstrak aloe vera berjenama Aloeshafy.
Pengarah Aloeshafy, Sharifah Suziana Syed Ali berkata, pemilihan aloe vera adalah disebabkan ia telah digunakan secara meluas untuk tujuan kecantikan dan kesihatan.
Selain itu, aloe vera juga mempunyai pelbagai khasiat yang meliputi faktor kecantikan dalaman dan luaran tubuh badan manusia.
Organik
“Hari ini, Aloeshafy memperkenalkan tiga produk baharu iaitu set kecantikan, gel mandian aloe vera dan jus aloe vera.
“Set kecantikan Aloeshafy terdiri daripada pencuci muka, penyembur muka dan gel pelembap wajah.
“Ia amat sesuai digunakan untuk membersih, menyegar, melembap dan menghidrat kulit muka walaupun menjalani aktiviti harian serba lasak,” jelasnya.
Bagi gel mandian Aloeshafy, ia sesuai digunakan untuk semua jenis kulit bagi membantu melembap dan meremajakan kulit.
Malah, ia juga boleh diaplikasikan kepada penjagaan kulit kepala dan rambut. Produk tersebut boleh didapati pada harga bermula dari RM39.90 daripada ejen dan dropship yang berdaftar secara sah di seluruh negara.
PIJ Holdings merupakan syarikat pertama di Malaysia yang mengkomersialkan penanaman aloe vera Barbadensis Miller secara organik ke pasaran tempatan dan luar negara sejak tahun 2014.
Ia ditanam di ladang berstatus MyOrganik seluas 48.5 hektar yang terletak di Lembah Makanan Organik Bersepadu Johor, Bio Desaru.
Sebagai syarikat pertama dan peneraju dalam pengeluaran ekstrak aloe vera di Malaysia, PIJ Manufacturing mengawal seluruh rantaian bekalan industri dari penanaman ke penuaian, mengekstrak dan memproses sehingga pengedaran komoditi tersebut ke pasaran.
Sementara itu, Ketua Penyelidik, Institut Pembangunan Bioproduk Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Lee Ting Hun berkata, aloe vera merupakan anugerah daripada alam semula jadi yang dicipta untuk dinikmati manusia.
Katanya, sumber tersebut wajar diperkasakan secara meluas supaya memberi manfaat terhadap manusia khususnya dalam bidang kecantikan.
Hal ini kerana terdapat lambakan produk yang menggunakan bahan kimia serta bahan terlarang yang memudaratkan kulit.
Justeru, sumber semula jadi seperti aloe vera ini perlu diselami dan dikaji secara menyeluruh.
“Analisis kualitatif aloe vera yang dijalankan menemui dua komponen bioaktif dalam gel daun tersebut iaitu asid digitoxic dan dioxybenzone.
“Dioxybenzone bertindak sebagai pelindung untuk menyekat sinaran ultraungu A dan ultraungu B.
“Komponen tersebut dapat menghindari kerosakan tisu kulit, menghalang kedutan awal dan kebakaran kulit dengan hanya sapuan mudah ke atas kulit,” jelasnya.
Sumber: http://www.kosmo.com.my/k2/stailo/aloe-vera-anugerah-alam-semula-jadi-1.575500#.Wjic_aZ8z60.whatsapp
Back to News List