Produk global

19 Dec 2017 | Harian Metro

Produk global



Ayusliza Azizan
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Anak syarikat milik penuh PIJ Holdings Sdn Bhd, PIJ Manufacturing Sdn Bhd (PIJ Manufacturing) memperkenalkan tiga produk terbaru penjagaan kecantikan serta jus daripada ekstrak aloe vera berjenama Aloeshafy.

Pengarah PIJ Manufacturing, Sharifah Suziana Syed Ali berkata, tiga rangkaian produk terbaru berkenaan adalah jus, gel mandian dan set penjagaan wajah yang diperbuat daripada ekstrak aloe vera yang ditanam secara organik oleh satu lagi anak syarikat kumpulan PIJ Holdings iaitu PPA Bio Sdn Bhd.

“Kami percaya dan yakin tiga produk Aloeshafy bakal menjadi peneraju dan mampu menembusi pasaran Malaysia dan antarabangsa berdasarkan kualiti serta faedah produk itu sendiri.

“Kaedah pemasaran produk Aloeshafy adalah melalui pelantikan ejen dropship tanpa perlu menyimpan stok atau menghantar produk kepada pelanggan. Ia bertujuan menarik mereka yang baru memulakan perniagaan, usahawan kecil dan beroperasi dari rumah menggunakan platform media sosial secara aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Aloeshafy Lunch Tea Party di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah PIJ Manufacturing Sdn Bhd Rozan Mohd Sa’at.

Sharifah Suziana berkata, sebagai syarikat yang pertama dan peneraju dalam pengeluaran ekstrak aloe vera di negara ini, PIJ Manufacturing berkelebihan mengawal seluruh rantaian bekalan industri dari penanaman ke penuaian, mengekstrak dan memproses sehingga mengedar komoditi berkenaan ke pasaran yang hampir keseluruhannya menggunakan teknologi dari Belanda.

Beliau berkata, penanaman secara organik aloe vera Barbadensis Miller adalah spesies terbaik dunia di ladang berstatus MyOrganic seluas 48 hektar di Bio Desaru Vera dengan kapasiti pengeluaran optimum sebanyak lapan tan sebulan terletak di POIC, Halal Park Pasir Gudang, Johor.

Katanya, PIJ Manufacturing komited dan memberi jaminan membawakan produk yang mempunyai kualiti terbaik, harga berpatutan, mempunyai polisi keselamatan makanan serta memenuhi akredetasi ISO 22000:2005, HACCP serta halal.

“Tiga produk berkenaan memberi manfaat sebagai antioksidan, detoks serta antiradang manakala siri produk kecantikan berupaya memberikan kelembapan pada kulit dan kini boleh didapati di pasaran.

“Untuk perancangan tahun depan, kita menyasarkan menembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura dan Brunei malah berhasrat membawanya ke Timur Tengah,” katanya yang turut menyasarkan jualan sebanyak RM2 juta menjelang akhir tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 7:17 AM

Sumber:  https://www.hmetro.com.my/bisnes/2017/12/294848/produk-global

Back to News List